PETALING JAYA: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Nasional menolak keras cadangan pelantikan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia dan menyifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap prinsip dasar luar negara.
Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda AMANAH Nasional, Mus’ab Muzahar berkata, Adams bukan seorang diplomat mahupun negarawan, sebaliknya dikenali sebagai figura ekstrem kanan yang lantang menyokong rejim Zionis dan ideologi Trumpis.
“Retorik beliau dipenuhi kebencian, perkauman dan sentimen Islamofobia.
“Kehadiran beliau ke Malaysia hanya membawa agenda toksik dan politik kebencian,” kata Mus’ab dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau memetik Artikel 4 Konvensyen Vienna sebagai asas penolakan, yang membenarkan negara tuan rumah menentukan penerimaan mana-mana duta asing.
Mus’ab menjelaskan bahawa pendirian tersebut bukan bermotifkan peribadi tetapi berteraskan prinsip, maruah negara dan solidariti terhadap rakyat tertindas, khususnya di Palestin.
Beliau turut berpandangan bahawa pencalonan Adams bercanggah dengan komitmen Malaysia terhadap keamanan serantau dan hubungan diplomatik yang berasaskan keadilan.
“Malaysia bukan medan percubaan untuk boneka politik Amerika yang gagal di negaranya sendiri.
“Kita menuntut hubungan dua hala yang matang dan bermaruah,” katanya lagi.
Tambah beliau, penolakan terhadap pelantikan Adams bukanlah satu ancaman kepada hubungan Malaysia-Amerika, sebaliknya ia merupakan mesej jelas bahawa Malaysia tidak tunduk kepada tekanan geopolitik luar.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan pencalonan Nick Adams, seorang pengulas konservatif dan penulis sebagai Duta Besar AS ke Malaysia yang baharu.








