Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menggesa Pemuda PAS berhenti mengeluarkan kenyataan mengelirukan berkaitan isu pelawak, Harith Iskander, malah menuduh pihak polis mengamalkan pendakwaan terpilih.
Katanya, gesaan itu seiring dengan peringatan dari Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar wakil rakyat dan parti politik menjaga perpaduan negara dan tidak memecahbelahkan rakyat.
“Namun, Pemuda PAS terus mengeluarkan kenyataan berkenaan isu Harith Iskander, mendakwa pihak polis bertindak cepat mendakwa suspek yang mengugut keluarga Harith, tetapi tidak mengambil tindakan terhadap pelawak itu dan seorang lagi pengguna media sosial, yang menurut mereka adalah satu bentuk pendakwaan terpilih.
“Saya rasa para pemimpin Pemuda PAS seolah-olah salah faham dengan isu sebenar, menyamakan gurauan dengan ancaman terhadap keluarga seseorang, dan seterusnya menyalahkan pihak polis. Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Chean Chung yang juga Pengarah Komunikasi Nasional PKR mengingatkan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafiz Sabri agar memainkan peranan sebagai contoh yang baik dan tidak memutarbelitkan fakta untuk kepentingan politik.
“Perbuatan pemimpin muda sangat penting bagi negara, terutamanya dalam membentuk pemikiran generasi akan datang. Jangan hanya kerana politik, fakta diputarbelitkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Harith Iskander hanyalah seorang pelawak yang kerjayanya bergantung kepada jenaka dan sindiran.
Oleh itu, mendakwa beliau sebagai punca ancaman adalah tidak wajar dan boleh menjejaskan kebebasan bersuara di negara ini.
“Wakil rakyat dan pemimpin muda sepatutnya mengutamakan perpaduan negara dan keharmonian masyarakat, bukan menjadikan undang-undang sebagai alat untuk memanipulasi sentimen rakyat,” katanya lagi.
Chean Chung menasihatkan agar semua pihak, terutama pemimpin politik, menghormati undang-undang dan tidak menggunakan isu ini untuk meraih keuntungan politik jangka pendek.
Baca juga: