PETALING JAYA: Pemuda UMNO menzahirkan kebimbangan terhadap keputusan kerajaan menaikkan waktu kerja sektor awam daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh, menyifatkan langkah ini sebagai satu tindakan yang tidak menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan.
Beliau berkata, pekerja syif khususnya yang berkhidmat dalam sektor keselamatan dan kesihatan, kini berdepan tekanan kerja yang semakin berat.

“Petugas barisan hadapan bekerja tanpa henti demi kesejahteraan rakyat, termasuk pada waktu malam, hujung minggu, dan cuti umum.
“Keputusan menaikkan waktu kerja ini hanya akan menambah tekanan fizikal dan mental kepada mereka, selain meningkatkan risiko burnout,” katanya.
Akmal turut mengkritik dasar tersebut kerana tidak mengambil kira cabaran unik yang dihadapi oleh pekerja syif.
Mereka sering berdepan dengan jadual kerja tidak menentu, kehilangan cuti umum, serta tekanan emosi yang tinggi akibat keperluan tugas di luar waktu kerja biasa.
Beliau mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan ini dan memastikan keadilan kepada pekerja sektor awam, khususnya golongan pekerja syif.
“Kesejahteraan penjawat awam perlu dijaga kerana mereka adalah tulang belakang kepada perkhidmatan negara. Dalam usaha membangunkan negara, kebajikan mereka tidak seharusnya diabaikan,” katanya lagi.
Pemuda UMNO turut memaklumkan bahawa pihaknya akan menghantar surat bantahan rasmi kepada kerajaan untuk menegaskan pendirian ini.
Mereka juga berjanji akan terus memperjuangkan kebajikan penjawat awam yang terkesan akibat perubahan dasar ini.
Untuk info, keputusan menambah jumlah waktu bekerja dinyatakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 berkaitan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), yang menetapkan jumlah waktu bekerja bagi waktu bukan pejabat diselaraskan kepada 45 jam seminggu termasuk waktu rehat.
Pekeliling itu juga menyatakan bahawa ketua jabatan mempunyai kuasa menyusun jadual waktu bekerja pegawai antara empat hingga enam hari seminggu, dengan hari rehat antara satu hingga tiga hari seminggu..
Baca juga: