Pemulihan akidah anak-anak GISBH ikut peringkat umur – Exco Selangor

PETALING JAYA: Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, mengumumkan bahawa rumusan saringan dan pemeriksaan terperinci terhadap anak jagaan rumah amal GISB Holdings (GISBH) akan dibentang pada pertengahan bulan ini untuk memastikan proses pemulihan dilaksanakan mengikut kesesuaian.

Menurut beliau, pasukan khas yang ditubuhkan pada awal bulan lalu (Oktober) telah melakukan pemeriksaan menyeluruh meliputi kesihatan fizikal, mental, emosi serta pegangan ideologi anak-anak tersebut.

“Rumusan awal akan dibentangkan kepada saya pada pertengahan November ini supaya silibus pemulihan sedia ada dapat disesuaikan mengikut tahap yang diperlukan serta umur anak-anak ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa pihaknya bekerjasama dengan pentadbiran Pulau Pinang termasuk majlis agama negeri mengenai pengurusan anak GISBH Selangor yang ditempatkan di rumah perlindungan di sana.

Fahmi juga mengalu-alukan kerjasama serta bantuan pelbagai pihak terutama tenaga pakar dan kewangan dalam usaha memulihkan anak-anak berkenaan.

“Saya yakin mereka berpotensi untuk menjadi aset Selangor yang baik sekiranya diberikan didikan dan penjagaan sewajarnya,” katanya.

Pada 22 Oktober, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan bahawa proses pemulihan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH berjalan lancar mengikut modul yang ditetapkan.

Katanya, setiap modul itu disesuaikan dengan keperluan mereka selepas pasukan khas yang ditubuhkan membuat penilaian.

Pasukan berkenaan terdiri daripada wakil JAIS, Majlis Agama Islam Selangor, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Turut terlibat adalah Lembaga Zakat Selangor, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Yayasan Selgate, Persatuan Taska Negeri Selangor serta agensi swasta dan bukan kerajaan.

Anda Mungkin Berminat