PEKAN: Individu yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah tidak akan dibenarkan menetap di Tanah Kesultanan Pahang, tegas Sultan Pahang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda bertitah bahawa ketegasan itu selaras dengan hasrat memastikan tanah kurniaan Sultan Pahang dihuni rakyat yang bersih daripada gejala sosial serta menghayati nilai disiplin dalam kehidupan seharian.
“Di sini saya nak ingatkan, mana-mana anak yang terlibat dengan dadah akan saya usirkan dari Tanah Kesultanan kerana saya hendak rakyat yang tinggal di Tanah Kesultanan ini benar-benar bersih dari segala aspeknya.
“Pertama, kebersihan di rumah dan kebersihan diri anak-anak muda kita ini,” titah Baginda ketika berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada 26 penerima dari daerah Pekan, Kuantan dan Rompin di Masjid Tengku Ampuan Besar Fatimah, Kampung Polo.
Dalam titah sama, Al-Sultan Abdullah menasihati ibu bapa agar memberi perhatian terhadap pembentukan jati diri anak-anak dan memastikan mereka menjauhi gejala negatif termasuk penyalahgunaan dadah.
Baginda turut menyeru seramai 3,729 penduduk yang menetap di atas Tanah Kesultanan untuk mengemukakan cadangan serta idea kepada Majlis Kesultanan Pahang bagi memanfaatkan sepenuhnya tanah kurniaan tersebut.
“Usaha bersama ini diharap dapat memperkukuhkan kemakmuran Tanah Kesultanan serta menjamin kesejahteraan generasi kini dan masa hadapan,” titah Baginda.
Baca juga:








