Seorang lelaki ditahan selepas disyaki menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan memperdaya bendahari sebuah masjid untuk menyerahkan buku cek milik sebuah masjid di Ampang, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata laporan diterima daripada mangsa mengenai kejadian yang dilaporkan pada 19 Januari lalu, dan suspek berjaya ditahan pada 1.35 petang hari Selasa.
“Pengadu yang berusia 60 tahun itu didatangi suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai SPRM ketika berada dalam pejabat masjid.
“Suspek memberitahu kepada pengadu bahawa terdapat maslaah dalam pengurusan akaun masjid dan meminta dirinya menyerahkan buku cek kononnya untuk tujuan semakan dan pemeriksaan,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Mohd Azam turut menambah suspek kemudian beredar dan kira-kira jam 3 petang hari yang sama, pengadu menerima panggiland daripada bank yang menyatakan ada cubaan mengeluarkan RM30,000 namun ditolak pihak bank.
“Suspek yang berusia 34 tahun itu didapati tidak bekerja dan mempunyai dua rekod jenayah lampau dan positif dadah jenis methaphetamine.
“Suspek kini direman empat hari, sehingga hari Sabtu di bawah kes yang disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya.
Baca juga: