SABAH: Penampang sekali lagi dilanda bencana apabila Sungai Moyog melimpah untuk kali keempat dalam tempoh seminggu, susulan hujan lebat berterusan yang melanda kawasan itu.
Kejadian tersebut telah menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh di beberapa lokasi, memaksa seramai 179 penduduk daripada pelbagai kampung dipindahkan ke pusat pemindahan sementara sejak malam 11 September.
Empat pusat pemindahan telah diaktifkan bagi menempatkan mangsa termasuk Kompleks Sukan Penampang yang menempatkan 55 orang, SMK Datuk Peter Mojuntin dengan 88 mangsa termasuk pelajar, SK St Paul Kolopis dengan sembilan orang dan Dewan Serbaguna Kampung Tuavon yang menempatkan 27 mangsa.
Mangsa terdiri daripada pelbagai lapisan umur termasuk bayi dan seorang individu kurang upaya.
Keadaan cuaca yang masih tidak menentu mendorong pihak berkuasa bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Penampang untuk terus memantau keselamatan serta kebajikan mangsa.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, turun padang ke Kampung Pogunon untuk meninjau sendiri kerja-kerja pembaikan jalan yang runtuh akibat tanah runtuh di laluan Penampang–Tambunan.
Beliau mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan syarikat konsesi untuk bekerja 24 jam bagi memastikan laluan dua hala dapat dibuka semula secepat mungkin.
“Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat… Kita diberi jaminan dalam satu atau dua hari ini mereka boleh selesaikan laluan dua hala itu,” katanya.
Beliau turut mengarahkan Sabah Electricity Sdn. Bhd. dan Jabatan Air Sabah untuk segera memulihkan bekalan elektrik dan air bersih di kawasan yang terjejas.
Dalam insiden berasingan, seorang warga emas berusia 97 tahun dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Sarapung.
Pasukan bomba menghadapi cabaran besar untuk ke lokasi kerana laluan terhalang oleh banjir dan runtuhan.
Pasukan penyelamat terpaksa berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk sampai ke tempat kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).








