PARLIMEN | Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bercadang memohon peruntukan RM280 juta setahun, lima kali ganda lebih tinggi berbanding RM100 juta sebelum ini, bagi menyokong usaha penanaman semula sawit oleh pekebun kecil persendirian.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dana itu akan disalurkan menerusi Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) dengan sasaran meningkatkan kadar penanaman semula daripada 0.7 peratus kepada sekurang-kurangnya tiga peratus setahun.
Menurut beliau, penanaman semula yang konsisten menggunakan bahan tanaman berkualiti mampu melonjakkan hasil sawit antara lapan hingga 10 tan sehektar, sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
“Jika setiap pekebun kecil berjaya menambah dua tan Buah Tandan Segar (BTS), pulangan tambahan boleh mencecah RM2.5 bilion.
“Bayangkan kalau lapan tan, hasil boleh meningkat sehingga RM10 bilion,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Johari menegaskan dasar baharu kerajaan tidak lagi membenarkan pembukaan kawasan baharu termasuk penebangan hutan.
Oleh itu, katanya, penanaman semula menjadi langkah utama untuk memastikan industri sawit terus berdaya saing.
“Dasar baharu kerajaan tidak lagi membenarkan pembukaan kawasan baharu termasuk penebangan hutan.
“Sebab itu penanaman semula menjadi keutamaan bagi memastikan industri sawit kekal lestari dan mendapat pensijilan MSPO, terutamanya untuk pasaran eksport Eropah,” katanya.
Beliau turut memberi peringatan bahawa lebih setengah juta hektar ladang sawit ketika ini sudah berusia, dan jika tidak diganti, ia bakal menjejaskan hasil negara.
“Sekitar 520,000 hektar ladang sawit kini sudah tua. Jika penanaman semula tidak dijalankan segera, hasil pengeluaran dan pendapatan negara yang bergantung kepada eksport komoditi ini akan terjejas,” katanya lagi.
Johari menambah, Malaysia tidak boleh mengambil mudah isu ini kerana sawit merupakan penyumbang eksport terbesar negara.
“Pada tahun 2024, nilai eksport sawit Malaysia mencecah hampir RM120 bilion. Namun, sekiranya pokok sawit berusia terus dibiarkan, ia akan melemahkan daya saing negara di pasaran antarabangsa,” katanya.
Baca juga: