DI MANA-MANA, nama Greta Thunberg disebut di seluruh dunia. Sebagai aktivis alam sekitar, gadis manis dari Sweden ini terkenal dengan kelantangan isu perubahan iklim, dan kini muncul antara tokoh utama dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Berusia 22 tahun, Greta sebelum ini pernah menyertai misi kapal Medleen bersama 11 aktivis lain, namun ditahan tentera Israel ketika hampir memasuki perairan Gaza awal bulan lalu. Walaupun ditahan dan dihantar pulang, dia kembali menyertai misi GSF yang membawa lebih 500 aktivis dari 44 negara.
Greta dilahirkan pada 2003 di Stockholm dan mula mendapat perhatian dunia pada 2018 apabila memulakan “Mogok Sekolah untuk Iklim” di luar Parlimen Sweden. Tindakannya mencetuskan gerakan global Fridays for Future yang disertai jutaan pelajar di seluruh dunia.
Dia disahkan menghidap sindrom Asperger, OCD dan mutisme selektif, Greta pernah menyifatkan keadaannya sebagai “kuasa luar biasa” yang mendorongnya lebih fokus terhadap isu iklim. Semangat itu membawanya ke pentas antarabangsa termasuk PBB dan Forum Ekonomi Dunia.
Sepanjang kariernya, Greta pernah beberapa kali ditahan ketika protes alam sekitar, dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan, serta menerima pelbagai anugerah seperti ‘Right Livelihood Award’ dan ‘Amnesty Ambassador of Conscience’.
Dalam misi terbaharu, dia berada di atas kapal Alma yang menjadi sebahagian daripada lebih 50 kapal dalam GSF. Armada itu berlayar lebih sebulan dari Barcelona membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan untuk rakyat Gaza.
Walaupun khabarnya tidak lagi berada dalam jawatankuasa kepimpinan flotilla, Greta tetap memilih untuk menyertai pelayaran berbahaya itu. Dia sebelum ini mengkritik taktik intimidasi Israel termasuk serangan dron dan gangguan komunikasi terhadap flotilla.
“Misi flotilla bukan hanya tentang menghantar bantuan fizikal, tetapi simbol solidariti global menentang penindasan, sambil menuntut perhatian dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin yang berlarutan puluhan tahun.” menurut kenyataan itu.
Greta terus menjadi sorakan dunia kerana kecekalan dirinya yang tidak pernah gentar menentang ketidakadilan, sama ada dalam isu perubahan iklim mahupun perjuangan kemanusiaan untuk rakyat Gaza.
Baca juga: