Oleh: Tyah Helmi
FENOMENA luar biasa usahawan dan pempengaruh terkenal negara Khairul Aming mencetuskan lagi suasana riuh apabila sebuah pasar raya besar, AEON mengambil inisiatif dengan menyediakan rak khas bagi menempatkan kesemua bahan-bahan masakan berdasarkan resipi edisi Ramadan 2026.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun Threads, leaurora, pihak pasar raya dilihat menyusun siap segala bahan masakan di satu lokasi khusus bagi memudahkan pelanggan mendapatkan barangan tanpa perlu mencari dari satu rak ke satu rak lain.
“Bagus staf Aeon.
“Dah sediakan bahan masak siap-siap kat satu tempat sebab tahu resipi @khairulaming ni viral.
“Jadi tak perlulah pelanggan menjelajah cari setiap rak. Siap dia cetak resipi terus,” katanya.

Difahamkan, lokasi pasar raya tersebut adalah di AEON Taman Universiti.
Perkongsian itu turut dibanjiri komen warga atas talian yang menyifatkan pengaruh Khairul Aming berada pada tahap luar biasa, khususnya setiap kali menjelang Ramadhan.
Seorang pengguna, Ftnabihah, menyifatkan situasi tersebut sebagai “another level”, malah mendakwa satu Malaysia mengikuti rapat setiap perkongsian resipi yang dimuat naik.
Seorang lagi pengguna, Syakinahsaridi, berkata meskipun menu yang dimasak mungkin pernah dihasilkan oleh orang lain, sentuhan Khairul Aming seolah-olah mencetuskan keinginan luar biasa dalam kalangan orang ramai untuk mencuba sendiri resipi berkenaan.
“Apa sahaja yang dia masak, mesti rasa nak buat.
“Kalau bukan hari ini, esok pasti orang buat. Aura dia memang lain,” katanya.
Seorang pengguna lain turut menyifatkan Khairul Aming sebagai ‘trendsetter’ sebenar dalam dunia kulinari digital tempatan.
Untuk rekod, setiap kali menjelangnya bulan Ramadhan, resipi yang dikongsikan Khairul Aming sering menjadi ikutan ramai sehingga memberi impak langsung kepada corak pembelian pengguna dan strategi pemasaran peruncit.
Baca juga:








