PARLIMEN | Keputusan kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya tahun ini memberi manfaat besar kepada golongan berpendapatan sederhana yang bergantung kepada lebuh raya untuk berulang-alik ke tempat kerja.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tanpa penangguhan itu, pengguna kenderaan kelas 1 bakal berdepan kenaikan tol antara RM0.50 hingga RM4.56 atau peningkatan antara 79 peratus hingga 83 peratus seperti yang termaktub dalam perjanjian konsesi.
“Sebagai contoh, pengguna yang melalui Plaza Tol Putrajaya di Lebuhraya MEX akan menikmati penjimatan RM6.80 sehari untuk perjalanan pergi balik.
“Jika digunakan selama 20 hari sebulan, penjimatan boleh mencecah RM136 sebulan atau RM1,632 setahun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Datuk Seri Mohmed Puzi Ali (BN-Pekan) yang bertanya mengenai implikasi kepada pengguna lebuh raya sekiranya kerajaan tidak menangguhkan kenaikan kadar tol bagi tahun 2025.
Menurut Nanta penangguhan ini melibatkan semua kelas kenderaan dari kelas 1 hingga kelas 5 di kesemua 10 lebuh raya, kecuali di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) yang hanya membabitkan kelas 5.
“Senarai lebuh raya yang terlibat termasuk Lebuhraya Cheras–Kajang (GRANDSAGA), LATAR, NNKSB, SKVE, DUKE, MEX, LPT2, SDE, JSAHMS dan LLB.
“Jika tidak ditangguhkan, kadar tol baharu akan memberi impak ketara kepada pengguna kerana jurang antara kadar semasa dan kadar mengikut konsesi adalah besar,” katanya lagi.
Tambahnya, langkah ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam mengurangkan beban rakyat dan meredakan tekanan kos sara hidup semasa.
Baca juga: