SEREMBAN: Penantian sekian lama seorang remaja, Nurul Arini, akhirnya berakhir apabila permohonan kewarganegaraannya yang dibuat sejak 2013 diluluskan dan MyKad diserahkan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Nurul Arini, yang dilahirkan di Malaysia namun ditinggalkan oleh ibu bapa kandungnya dan dibesarkan oleh keluarga angkat, mengemukakan permohonan kewarganegaraan pertamanya pada 2013 yang ditolak, sebelum permohonan kedua pada 2018 akhirnya diluluskan pada Februari 2023.
“Walaupun permohonannya ditolak dua kali, akhirnya pada Februari 2023, kami berjaya memberikan status kewarganegaraan yang sah. Hari ini, saya sendiri yang menyerahkan MyKad kepada beliau,” kata Saifuddin.
Beliau berkata demikian selepas melihat video TikTok yang memaparkan Arini meluahkan penghargaan atas kelulusan permohonannya.
Saifuddin turut melahirkan rasa bangga apabila mengetahui Arini memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam SPM, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berupa komputer riba, pencetak, bantuan tunai, serta barangan foodbank, selain berjanji untuk membantu memasang wifi di kediaman Arini.
“InsyaAllah, selagi kami diberi amanah, kami akan terus komited membantu yang berhak kerana setiap anak Malaysia berhak untuk bermimpi, dan lebih penting lagi, berhak untuk direalisasikan.” Katanya.
Baca juga: