Pencalonan Nurul Izzah Pertandingan Politik, Bukan Nepotisme- Dr Yusri Ibrahim

KUALA TERENGGANU: Pencalonan Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh dianggap sebagai satu bentuk nepotisme.

Sebaliknya adalah sebahagian daripada proses demokrasi dalam parti, kata Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu, Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Menurut beliau, kecaman sesetengah pihak yang menuduh Izzah mengamalkan nepotisme adalah tidak selari dengan definisi sebenar konsep tersebut.

“Nepotisme bermaksud memberi keistimewaan kepada ahli keluarga dengan mengenepikan calon yang lebih layak secara merit.

“Dalam kes ini, Nurul Izzah menawarkan diri dalam pertandingan terbuka yang termaktub dalam perlembagaan parti,” katanya dalam satu catatan di Facebooknya.

Dr Yusri turut mengingatkan bahawa persaingan jawatan dalam parti adalah perkara biasa dalam sistem politik yang demokratik.

“Demokrasi sifatnya memang hiruk-pikuk. Ulasan dan perbincangan memang wajar, tapi biarlah adil dan tidak keterlaluan menyerang peribadi,” tambah beliau.

Beliau juga menekankan bahawa baik Nurul Izzah mahupun pesaingnya Rafizi Ramli, kedua-duanya memiliki kredibiliti dan kekuatan tersendiri untuk memimpin parti.

Untuk rekod, pertandingan jawatan tertinggi dalam PKR sering mendapat perhatian umum kerana parti ini dilihat sebagai antara parti utama dalam landskap politik Malaysia.

Persaingan untuk jawatan Timbalan Presiden misalnya, pernah menyaksikan pertembungan tokoh-tokoh besar seperti Azmin Ali dan Rafizi Ramli pada 2018, dan kini menjadi perhatian lagi apabila Nurul Izzah Anwar bakal mencabar Rafizi untuk jawatan yang sama.

Pemilihan PKR bukan sahaja mencerminkan dinamika dalaman parti, tetapi juga dianggap sebagai petunjuk kepada arah masa depan kepimpinan dalam gabungan Pakatan Harapan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat