PETALING JAYA: Pencapaian cemerlang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar Kerajaan MADANI yang mesra pertumbuhan dan pelabur.
Malah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kadar dividen yang tertinggi untuk tempoh sejak 2017 itu juga disokong reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI sekali gus memberi manfaat kepada rakyat untuk pertumbuhan sejagat dan lestari.
KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion dan 6.30 peratus bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan RM10.19 bilion.
Jumlah keseluruhan agihan bagi 2024 adalah sebanyak RM73.24 bilion.
“Alhamdulillah, KWSP telah mengumumkan kadar dividen yang gemilang, dengan jumlah agihan tertinggi dalam sejarah, yakni RM73.24 bilion.
“Malah, Simpanan Shariah juga melakar sejarah, dengan julung kalinya mencapai kadar yang setara dengan Simpanan Konvensional,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, prestasi memberangsangkan KWSP itu dipacu kepesatan pasaran modal Malaysia yang mekar di tengah tantangan ekonomi global yang penuh dengan pelbagai cabaran.
“Dengan keyakinan yang semakin meningkat dalam ekonomi negara, insya-Allah kita akan mara dengan penuh iltizam, memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” tambah beliau.
Baca juga: