KUALA LUMPUR: Jumlah pendaftaran MyDigital ID meningkat kepada 2.8 juta rakyat Malaysia setakat suku kedua tahun ini, berbanding 1.8 juta pada suku pertama 2025.
Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, peningkatan ketara ini dipacu oleh peluasan penggunaan MyDigital ID dalam pelbagai platform digital termasuk portal MyGOV, aplikasi MyJPJ, serta keperluan pengesahan identiti bagi pengguna kad SIM prabayar.
“Setiap aplikasi baharu yang diperkenalkan, sama ada oleh kerajaan atau sektor swasta, mewujudkan keperluan untuk pengesahan identiti digital yang selamat. Ini secara langsung mendorong pertambahan jumlah pendaftaran,” jelasnya.
Menjawab soalan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, mengenai pelaksanaan inisiatif itu, Dr. Zaliha memaklumkan bahawa 35 sistem aplikasi kerajaan kini telah diintegrasikan dengan MyDigital ID.
Selain itu, 17 sistem sedang dalam proses pelaksanaan, manakala 21 lagi masih di peringkat perbincangan.
Katanya, tujuh sistem aplikasi bukan kerajaan juga telah diintegrasi setakat ini, menjadikan keseluruhan 82 sistem yang terlibat dalam pelaksanaan MyDigital ID ketika ini.
Baca juga:








