Kejadian pendaki gunung sesat dipercayai melibatkan dua orang mangsa telah berlaku di Gunung Angsi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Khamis.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 5.05 petang.
Menurut Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba Mohd Izzuwan Abd Rahim, dua orang mangsa yang terlibat merupakan dua orang lelaki yang berusia lingkungan 20-an yang telah tersasar dari laluan asal pendakian di Gunung Angsi.
“Salah seorang mangsa turut mengalami kecederaan ringan dan keletihan. Kedua-dua mangsa telah ditemui oleh anggota Bomba Unit Khas Pasukan STORM pada pukul 11.48 malam dan di bawa turun melalui jalan ke Air Terjun Dara, Taman Tuanku Jaafar, Senawang.

“Anggota bomba dan mangsa selamat tiba pada pukul 12.52 tengah malam. Mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dengan menaiki kenderaan unit EMRS bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, seramai 13 anggota bomba termasuk pasukan STORM daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP) Seri Menanti dan Seremban telah ditugaskan dalam operasi dan menyelamat berkenaan.
Operasi turut dibantu oleh pasukan Malim Gunung Perhutanan Negeri Sembilan dan secara keseluruhannya operasi berjaya ditamatkan pada pukul 1.20 pagi.
Baca juga: