PETALING JAYA: Pasukan penyelamat gabungan telah memulakan operasi mengeluarkan jenazah seorang pendaki warganegara Malaysia yang terjatuh di laluan pendakian Torean, Gunung Rinjani, Indonesia.
Mangsa, seorang lelaki rakyat Malaysia, dipercayai tergelincir dan terjatuh dari tebing ketika menuruni laluan berbahaya itu pada Sabtu, 3 Mei 2025, sekitar pukul 1.00 tengah hari Waktu Indonesia Tengah (WITA).
Ketika kejadian, mangsa bersama 23 pendaki lain dalam perjalanan turun dari Danau Segara Anak menuju ke Torean.
Memetik laporan Basarnas Mataram, Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR) berkata, mangsa dipercayai jatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter di kawasan Banyu Urip, yang terkenal dengan medannya yang curam, berbatu dan berbahaya.
Keadaan itu menyukarkan usaha evakuasi dan memerlukan penggunaan peralatan teknikal khas pendakian (mountaineering).
Bertindak pantas terhadap laporan kejadian, Pejabat SAR Mataram telah menggerakkan pasukan penyelamat dari Pos SAR Kayangan serta pasukan sokongan dari Pejabat SAR Mataram.
“Kami seterusnya bergabung dengan pelbagai agensi termasuk TNI, Polri, BTNGR, EMHC Rinjani, Unit SAR Lombok Timur, porter, komuniti tempatan serta pihak berkaitan dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” kata Lalu Muhammad Hilmi, Koordinator Pos SAR Kayangan.
Operasi itu melibatkan pelbagai kelengkapan khusus termasuk peralatan ‘mountaineering’, dron dengan pengesan haba (thermal drone), peralatan perubatan, sistem komunikasi serta sokongan teknikal lain.
“Operasi evakuasi kini sedang berjalan dan pasukan SAR gabungan sedang berusaha sedaya upaya untuk mencapai lokasi dan mengeluarkan mangsa dengan selamat,” tambah Hilmi.
Sehubungan itu, pihak BTNGR dan semua agensi terlibat menyeru para pendaki agar sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi panduan yang ditetapkan dan bergerak secara berkumpulan ketika berada di kawasan pendakian.