Pendedahan LKAN Petunjuk Reformasi Institusi Sedang Digalas Serius – AMK

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 di Dewan Rakyat sebagai bukti kukuh bahawa agenda reformasi institusi sedang digerakkan secara bersungguh-sungguh oleh Kerajaan MADANI.

Naib Ketua AMK, Nabil Halimi berkata, pendedahan terhadap ketirisan dan kelemahan tadbir urus dalam tujuh kementerian menunjukkan kerajaan tidak melindungi salah laku, bahkan mengambil pendekatan telus dan bertanggungjawab.

“Ini juga merupakan satu batu asas penting apabila ketirisan dibongkarkan secara terbuka agar kerajaan dapat memperbetulkan kesalahan daripada sudut pengurusan dan pelaksanaan.

“Kita harus akui bahawa masalah ini bersifat sistemik dan telah berakar dalam setiap lapisan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, langkah pendedahan ini mampu mencegah pembaziran dan memperkukuh ekonomi negara melalui pengurusan yang lebih berhemat.

Nabil turut mendedahkan bahawa kerajaan berjaya memulihkan RM157.73 juta dalam bentuk penalti, denda, kutipan cukai, sewaan serta pampasan akibat kelewatan projek.

“Ini satu pencapaian yang membuktikan keberkesanan pendekatan tatakelola baharu,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa kerajaan mempergiatkan pemantauan serta mengemaskini prosedur perolehan agar isu rasuah dan pembaziran dapat ditangani secara lebih menyeluruh dan tuntas.

“Langkah ini bukan sahaja penting untuk mengekang penyelewengan, malah membantu menjimatkan wang negara dalam usaha mengangkat semula ekonomi rakyat,” ujarnya.

Terdahulu, antara pendedahan utama dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 ialah kelemahan serius dalam tadbir urus dan pengurusan perolehan melibatkan beberapa entiti kerajaan dan institusi awam termasuk Tentera Darat Malaysia (TDM), Felcra Berhad dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Anda Mungkin Berminat