Oleh: Kamilia Ali
PUTRAJAYA: Malaysia sahut saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mempunyai pelan tindakan sendiri bagi mencegah dan menangani fahaman pelampau keganasan.
Susulan itu, satu program Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE) 2024 – 2028 telah diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
MyPCVE mengandungi empat teras utama iaitu Pencegahan, Penguatkuasaan, Pemulihan dan Pengukuhan.
“Setiap teras mempunyai fokus strategik yang menggariskan inisiatif untuk dilaksanakan oleh semua pihak termasuklah agensi penguat kuasa, penggubal dasar dan pelaksana dengan usaha kolaboratif bersama pertubuhan masyarakat sivil seperti ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi penyelidikan dan masyarakat setempat.
“Keempat-empat teras MyPCVE menggunakan pendekatan bersepadu yang menggabungkan ‘pendekatan secara halus’ dan ‘pendekatan secara kasar’,” katanya.
Pelan Tindakan ini merupakan manifestasi Kerajaan yang diterajui oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Turut hadir Timbalan Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman dan Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha.