Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Fenomena kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja semakin merisaukan masyarakat. Di sebalik angka yang mencengkam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan pendekatan berlandaskan Islam adalah kunci untuk membimbing generasi muda agar menjaga maruah dan masa depan mereka.
Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan 21,114 kes kehamilan luar nikah bagi remaja berusia 19 tahun ke bawah antara 2019 hingga 2024.
Angka ini bukan sahaja mencerminkan cabaran sosial, malah menzahirkan kelemahan dari segi bimbingan agama, pendidikan seksual dan sokongan keluarga.
Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil menegaskan bahawa pendekatan Islam bukan sekadar menghukum, tetapi memberi panduan untuk mendidik dan mencegah.
“Perkahwinan bagi remaja yang bersedia dapat menanam tanggungjawab, disiplin dan kasih sayang yang betul,” katanya, menekankan kepentingan institusi keluarga yang kukuh.
Beliau juga menegaskan kawalan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan amat penting.
“Pergaulan yang tidak bersempadan sering menjadi titik permulaan kepada perlakuan yang dilarang.
“Sifat malu (al-haya’) pula menjadi benteng utama bagi remaja. Malu bukan sahaja menjaga maruah diri, tetapi turut membantu mengekalkan batas pergaulan dan disiplin sosial,” katanya menerusi laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, pendidikan seksual juga perlu diterapkan dengan seimbang, mengikut tahap pemahaman remaja.
“Pendidikan seksual yang betul bertujuan mendidik, mencegah maksiat dan memelihara maruah diri mengikut syariat,” ujarnya.
Beliau menegaskan ibu bapa, pendidik dan masyarakat perlu bersama-sama memainkan peranan, bukannya menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada remaja.
Pendekatan Islam menekankan pencegahan, pendidikan dan pemulihan secara hikmah dan rahmah.
Langkah-langkah ini termasuk pensyariatan perkahwinan, kawalan pergaulan, pembinaan sifat malu dan pendidikan seksual yang seimbang.
“Usaha berterusan diharap dapat membendung masalah kehamilan luar nikah, serta melahirkan generasi muda yang beriman, berakhlak mulia dan bertanggungjawab terhadap diri dan keluarga” katanya lagi.
Tambahnya,tanggungjawab ini adalah cabaran bersama ibu bapa, pendidik, masyarakat dan pihak berautoriti. Kesungguhan semua pihak diharap dapat membina masyarakat lebih sihat dan generasi muda yang matang.
Baca juga:








