PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pendekatan Kerajaan MADANI bukan sekadar menyalurkan bantuan, tetapi memberi ruang kepada rakyat untuk menentukan hala tuju pembangunan komuniti mereka sendiri.
Menurut Anwar, kaedah ini membolehkan masyarakat luar bandar mengurus dan memantau projek yang dijalankan dengan lebih bertanggungjawab serta berkesan.
“Saya lihat ada petani buta yang mampu beli dua dron. Dia guna untuk kerja di kampung, kemudian disewakan dan menjana keuntungan,” katanya dalam Program Komunivesiti Kolaboratif pada Sabtu.
Anwar berkata, beberapa inisiatif lain seperti projek ternakan ikan, lembu dan pertanian juga menunjukkan hasil positif apabila dikendalikan sendiri oleh penduduk setempat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pentingnya ketelusan dalam pengurusan dana dengan rekod yang jelas dan kawalan perbelanjaan yang ketat bagi memastikan setiap projek kekal berdaya tahan.
“Ini pendekatan MADANI, bukan sekadar turun padang, tetapi menyatukan rakyat dengan memberi ruang dan keberkatan untuk mereka tentukan keutamaan sendiri,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan semua syarikat korporat utama seperti Maybank, CIMB, Public Bank, KLK dan Guthrie telah diminta menyokong pembangunan pendidikan dengan menaja sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara.
Pendekatan itu, jelas beliau, mencerminkan semangat tanggungjawab sosial korporat dalam menyokong agenda pendidikan negara serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan rakyat selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.
Baca juga:








