PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menutup lawatan beliau ke Sabah dengan menghadiri majlis berbuka puasa bersama masyarakat pelbagai lapisan dan pemimpin tempatan dalam suasana penuh harmoni.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau berkata, adalah menjadi satu keperluan negara untuk mendepani dunia yang dipacu transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) tanpa mengabaikan nilai, budaya serta jati diri masyarakat.
“Mendepani dunia yang dipacu transformasi digital dan ‘Artificial Intelligence’ (AI), kita mesti memastikan kemajuan teknologi bergerak seiring dengan nilai, budaya dan jati diri masyarakat,” katanya.
Sebagai langkah konkrit, Anwar berkata, Kerajaan MADANI kini bekerjasama dengan guru-guru pondok bagi memperkukuh pendidikan sedia ada.
Usaha itu tidak mengubah asas kurikulum mereka, sebaliknya menambah elemen bahasa, sejarah, pendidikan digital serta pendedahan kepada AI.
Beliau menekankan bahawa pendekatan itu adalah sebahagian daripada tekad Kerajaan MADANI untuk memastikan pendidikan agama terus diperkasa, seiring dengan arus kemajuan teknologi demi masa depan generasi negara.








