GEORGETOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembinaan sekolah baharu dan baik pulih sekolah sedia ada di Pulau Pinang menjadi salah satu keutamaan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan pelajar dan guru menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.
Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Anwar, hari ini.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Ketua Menteri, barisan Exco negeri serta pegawai kanan kerajaan persekutuan dan negeri.
Menurut Anwar, mesyuarat itu memberi tumpuan kepada pelbagai projek infrastruktur utama termasuk jalan raya, bekalan air, kesihatan, sukan serta pembangunan pelabuhan perikanan dan penempatan nelayan.
Katanya, semua itu dirancang untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.
“Selain aspek pembangunan lain, pembinaan sekolah baharu dan kerja baik pulih amat penting bagi memastikan keselesaan pelajar dan guru di negeri ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Beliau turut menggesa kementerian dan agensi berkaitan untuk bertindak segera bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan projek berjalan lancar.
“Fokus utama adalah untuk membantu golongan miskin bandar dan luar bandar yang memerlukan sokongan pembangunan,” ujarnya.