‘Pendidikan Karakter’ Diperkenal Mulai 2026 – Fadhlina

PARLIMEN | Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan subjek baharu, Pendidikan Karakter, bermula tahun 2026 sebagai langkah memperkukuh pembentukan sahsiah dan jati diri murid sejak peringkat awal persekolahan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, subjek itu akan dilaksanakan terlebih dahulu di peringkat prasekolah sebelum diperluas secara berperingkat ke tahap lain dalam sistem pendidikan negara.

“Pendidikan Karakter akan menjadi asas kepada Kurikulum Persekolahan 2027, yang menekankan nilai moral, akhlak serta keperibadian murid,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurut beliau, kurikulum baharu itu akan menampilkan pendekatan pembelajaran berasaskan karakter yang menyeluruh, selaras dengan aspirasi untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi intelek dan emosi.

“Kita mahu melahirkan generasi pelajar yang berakhlak tinggi dan seimbang dari segi sahsiah serta emosi, bukan sekadar berfokus pada akademik semata-mata,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina turut memaklumkan bahawa KPM akan melaksanakan saringan minda sihat dua kali setahun di semua sekolah sebagai langkah menangani isu kesihatan mental dalam kalangan murid.

“Murid yang menunjukkan tanda tekanan atau kemurungan akan dirujuk untuk mendapatkan intervensi bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.

Bagi memperkukuh usaha ini, KPM juga akan melaksanakan latihan dan program khusus kepada guru serta kaunselor bagi mempertingkatkan keupayaan intervensi awal di peringkat sekolah.

Anda Mungkin Berminat