Pendidikan STEM diperkukuh, KPM sambut baik saranan PM

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa kesemua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sedang melaksanakan pakej bidang Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ketika ini.

KPM menerusi satu kenyataan berkata, perkara itu bagi merealisasikan sasaran dasar 60 peratus murid dalam STEM, selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan penyertaan murid dalam bidang itu.

“Seramai 18,113 atau 98.86 peratus daripada jumlah keseluruhan murid SBP melaksanakan pakej STEM.

“Manakala baki seramai 209 orang murid SBP atau 1.14 peratus lagi mengambil pakej Sains Sosial

“KPM menyambut baik saranan Perdana Menteri untuk meningkatkan bilangan murid dalam bidang STEM bagi menampung keperluan sumber manusia dalam bidang berkaitan,” katanya pada Khamis.

Mengulas lanjut, KPM berkata, pakej STEM di SBP ditawarkan seperti murid mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik, Kimia dan Biologi) serta Matematik Tambahan.

Selain itu, murid ditawarkan mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen, Matematik Tambahan, Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.

“Pilihan lain ialah murid mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen, Matematik Tambahan, Bahasa Arab, Hifz Al-Quran dan Maharat Al-Quran atau murid mengambil dua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik dan Kimia), Matematik Tambahan serta Sains Komputer,” tambahnya.

KPM juga memaklumkan, tumpuan kementerian itu ketika ini adalah untuk meningkatkan enrolment pelajar yang mengambil mata pelajaran Sains Tulen di semua jenis sekolah.

“KPM akan turut memperkenalkan inisiatif SBP khusus yang memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya lagi.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya 70 peratus pelajar di sekolah berasrama penuh memilih aliran STEM bermula pada tahun hadapan bagi memperkukuh penguasaan dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, usaha meningkatkan penyertaan pelajar dalam STEM perlu dilaksanakan segera pada tahun ini, sejajar dengan kepentingan bidang berkenaan dalam pembangunan negara.

Anda Mungkin Berminat