Pendidikan Tidak Boleh Dikompromi Walau Krisis Global – Anwar

Oleh: Tyah Helmi

KUALA KANGSAR: Meskipun dunia berdepan krisis global, Kerajaan MADANI tetap menjadikan pendidikan sebagai agenda utama negara demi masa depan generasi muda, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapannya ketika menghadiri sesi ramah mesra bersama warga dan bekas pelajar SMK Clifford Kuala Kangsar, Anwar menekankan bahawa mutu pendidikan tidak boleh dikompromi walau dalam keadaan mencabar.

“Ruang dan peluang pendidikan itu harus diberikan seluas mungkin kepada seramai mungkin, pengaksesan demokrasi pendidikan yang berkualiti.

“Justeru, anak-anak (para pelajar) terpisah daripada kenyataan di luar (krisis global),” katanya.

Beliau berkata, projek kemudahan pendidikan akan diluluskan dan dilaksanakan segera tanpa penangguhan kecuali projek besar yang memerlukan masa panjang.

Menurutnya, projek kecil khususnya dalam bidang pendidikan dan kesihatan akan terus diberi keutamaan.

“Banyak negara kerana kebetulan sengketa dan perseteruan dengan negara-negara jiran dan rantau terpaksa membelanjakan peruntukan yang tinggi untuk keselamatan.

“Oleh itu peruntukan untuk pendidikan itu agak terbelakang.

“Generasi berikutnya tentu akan terkesan bila mutu pendidikan dan kemudahannya itu agak hambar,” ujar beliau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, timbalannya Wong Kah Woh serta Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, penerapan nilai adab dalam sistem pendidikan tidak boleh dipinggirkan.

Katanya, ia perlu terus menjadi keutamaan warga pendidik bagi melahirkan generasi yang tinggi moral dan akhlaknya.

Anda Mungkin Berminat