Pendigitalan Perniagaan Lonjak Jualan Usahawan Kecil Lebih RM14 Juta

PARLIMEN | Usaha pendigitalan perniagaan melalui platform TikTok Shop Live, yang digerakkan oleh SME Corp bersama beberapa agensi kerajaan telah membuka lembaran baharu buat usahawan kecil dan penjaja.

Sehingga Julai lalu, inisiatif itu berjaya mencatat jualan melebihi RM14 juta, satu pencapaian luar biasa bagi golongan peniaga mikro.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, program itu memberi impak besar dalam memperluas capaian pasaran usahawan kecil.

“Sehingga Julai, seramai 400 usahawan telah menerima manfaat menerusi program ini.

“Hasil jualan mereka meningkat lebih RM14 juta, walaupun hanya melibatkan golongan peniaga kecil,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh di Dewan Rakyat.

Beliau turut memaklumkan bahawa program itu dijalankan di studio khas secara percuma sehingga Disember bagi membantu usahawan memanfaatkan siaran langsung sebagai medium pemasaran baharu yang lebih interaktif dan berkesan.

Ramanan berkata, kejayaan itu membuktikan kerjasama antara kerajaan dan platform digital mampu memperkukuh daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sekali gus membuka peluang lebih luas dalam ekonomi digital.

Anda Mungkin Berminat