BENTONG: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak menjadi saksi kepada Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang yang merupakan sebuah inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Pendidikan di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurut hantaran di Facebook Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, kehadiran beliau pada majlis itu adalah untuk bersama-sama pelajar-pelajar dan barisan guru bagi mencerminkan semangat cintakan negara.
“Inisiatif pemakaian lencana Jalur Gemilang bertujuan memupuk semangat patriotisme dan cinta akan tanah air dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Young Syefura menyatakan harapan besar agar usaha ini menjadi titik tolak kepada penerapan semangat perpaduan yang kukuh dalam jiwa anak-anak bangsa.
Namun, katanya, dalam usaha memperkukuh perpaduan, pelbagai naratif jahat terus dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Baru-baru ini, isu Jalur Gemilang tanpa bulan sabit yang tular di TCE Baby Expo mencetuskan kemarahan ramai.
Beliau mengecam keras kecuaian itu dan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal memandangkan bendera adalah simbol kedaulatan negara.
Beliau berkata, hukuman sewajarnya perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Saya berharap agar kita semua tidak termakan dek naratif dangkal hanya untuk kepentingan pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Inisiatif kecil ini dapat memberikan impak besar, lantas perpaduan, keharmonian serta semangat cinta akan tanah air berkekalan,” katanya.