Penerima Anugerah Tokoh Pekerja OKU ucap terima kasih semua pihak

PETALING JAYA: Penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara (OKU) 2025, Dr Ahmad Shamsuri Muhamad berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong kerjayanya selama ini.

Beliau berkata demikian setelah menerima anugerah tersebut daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 bertempat di Arena Axiata hari ini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong perkembangan kerjaya saya khususnya Prof. Dr. Zabidi Abdul Razak, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya yang juga bertindak sebagai pengiring saya dalam program hari ini,” kongsinya di Facebook pada Khamis.

Ahmad Shamsuri merupakan pensyarah kanan di Universiti Malaya.

Dengan bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa, sambutan tahun ini menzahirkan pengiktirafan terhadap peranan penting pekerja sebagai tulang belakang negara.

Dalam pada itu, majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Hari Pekerja yang disampaikan oleh Perdana Menteri antara kategorinya ialah, Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif), Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Swasta), Anugerah Tokoh Pekerja (OKU), Anugerah Majikan Terbaik Negara dan lain-lain lagi.

Difahamkan lebih 10,000 warga kerja dari sektor awam dan swasta dilihat memeriahkan sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, terdapat pameran kerjaya yang memaparkan lebih 50 pempamer oleh syarikat-syarikat kerajaan dan swasta yang memberi peluang pekerjaan terbuka buat rakyat Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat