Penerima SARA kini boleh beli produk kebersihan rumah

PETALING JAYA: Kerajaan memutuskan akan memperluaskan kategori barangan di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada produk kebersihan rumah bermula hari ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pada Khamis menyatakan berita baik itu akan memberi manfaat kepada lebih 5.4 juta penerima SARA

“Mulai 1 Mei 2025, kategori barangan di bawah SARA akan diperluas kepada produk kebersihan rumah.

“Lepas ini, bolehlah gunakan kredit SARA untuk membeli barangan seperti sabun atau serbuk pencuci pakaian, sabun pinggan mangkuk, dan pencuci lantai.

“Lebih banyak pilihan, lebih mudah urus perbelanjaan isi rumah. Kadang-kadang benda kecil pun boleh buat hidup rasa lebih ringan, kan?” kongsi MOF di media sosialnya.

Untuk rekod, perluasan kategori barangan itu melibatkan produk kebersihan rumah seperti sabun atau serbuk pencuci pakaian, pinggan mangkuk dan lantai, menjadikan kategori barangan berdaftar di bawah SARA meningkat kepada 14.

Barangan lain yang dibenarkan sebelum ini termasuk pelbagai barangan makanan asas, kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan sama memaklumkan lebih 3.9 juta penerima SARA mula menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas dari kedai yang berdaftar sepanjang April.

“Sambutan sangat menggalakkan apabila 72 peratus daripada jumlah 5.4 juta penerima SARA mula berbelanja menggunakan MyKad dalam bulan pertama pengkreditan SARA. Penerima SARA telah ditingkatkan daripada 700,000 kepada 5.4 juta mulai April,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, bilangan kedai runcit dan pasar raya berdaftar di bawah SARA juga telah mencecah lebih 3,700 buah di seluruh negara berbanding 700 tahun lepas, dan bilangan kedai runcit akan terus ditambah bagi memastikan terdapat kedai SARA yang berdekatan dengan tempat tinggal penerima.

Kementerian Kewangan juga memaklumkan dari segi prestasi pelaksanaan SARA hingga 29 April lepas, peratus tertinggi penerima yang telah membuat pembelian SARA melalui MyKad adalah di Sabah dengan 84 peratus, diikuti Perlis (82 peratus), Kedah (80 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (79 peratus) dan Kelantan (78 peratus).

Kadar maksimum SARA yang diterima tahun ini adalah hingga RM2,100 berbanding RM1,200 pada tahun lepas, yang merupakan peningkatan 75 peratus. Pembelian SARA boleh dibuat sepanjang tahun dan baki kadar atau kredit bulanan SARA akan dibawa ke bulan seterusnya hingga 31 Disember.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat