Pengamal Media India Perlekeh Inisiatif Anwar Tidak Profesional – ABIM

PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam keras tindakan segelintir pengamal media negara India yang memperlekehkan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha menjadi perantara keamanan susulan konflik bersenjata yang semakin memuncak antara negara itu dan Pakistan.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak profesional dan bertentangan dengan prinsip diplomasi antarabangsa.

“ABIM mengecam sikap tidak profesional segelintir pengamal media India yang memperlekehkan inisiatif Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, untuk berperanan sebagai perantara keamanan.

“Ini adalah satu tindakan yang tidak wajar dan bercanggah dengan prinsip diplomasi antarabangsa.

“Konflik yang berlaku di rantau strategik ini turut memberi impak besar terhadap kestabilan geo-ekonomi dan politik global, apatah lagi kerana ia melibatkan dua negara kuasa nuklear yang mewakili dua agama utama dunia — Islam dan Hindu,” kata Ahmad Fahmi dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Semalam, sebuah pertubuhan media di India, Firstpost membidas Anwar berhubung kenyataannya yang menawarkan diri menjadi pengantara antara India dan Pakistan.

Menurut wartawannya, Palki Sharma, Malaysia bukan negara yang berkecuali, justeru, tidak layak untuk bertindak sebagai broker keamanan.

Malah, katanya, Malaysia juga jelas tidak mengiktiraf kedaulatan India ke atas Jammu dan Kashmir apabila Anwar menyebut wilayah berkenaan sebagai “Kashmir yang ditadbir oleh India”.

Dalam kenyataan yang sama, ABIM turut menggesa agar konflik bersenjata antara kedua-dua negara jiran Asia Selatan itu dihentikan serta-merta bagi mengelakkan pertumpahan darah, khususnya melibatkan orang awam yang tidak bersalah.

“ABIM mengecam tindakan provokatif oleh pemerintah India, termasuk langkah menutup empangan yang menjadi sumber air penting kepada Pakistan tindakan yang dilabel sebagai menyalahi prinsip kemanusiaan dan semangat kejiranan antarabangsa.

“ABIM memandang serius insiden di Pahalgam, Kashmir, yang telah menjadi pencetus utama kepada konflik kali ini.

“Insiden tersebut harus disiasat dengan adil, bebas dan telus, agar tidak dijadikan alasan untuk tindakan ketenteraan yang memburukkan lagi keadaan serta menindas penduduk awam di wilayah bergolak itu,” katanya lagi.

Konflik ini menurut ABIM, boleh menyemarakkan sentimen Islamofobia dan xenofobia, bukan sahaja di rantau itu tetapi juga di peringkat global.

Tambahnya, ia turut menyerlahkan kelemahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menjalankan peranan sebagai badan pengaman dunia.

Sehubungan itu, ABIM menyeru masyarakat antarabangsa agar segera campur tangan dan menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan bagi mencari penyelesaian damai yang adil dan berkekalan.

Dalam pertikaian wilayah hampir 80 tahun berhubung Kashmir, serangan India itu menyusuli serangan militan Islam bulan lalu yang meragut nyawa 26 pelancong Hindu di Kashmir yang ditadbir India.

India menuduh militan berpangkalan di Pakistan bertanggungjawab, namun Islamabad menafikannya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat