Pengambilan MRSM Dan SBP Diselaras 2026, Peluang Adil Anak B40 Luar Bandar

PUTRAJAYA: Bermula tahun 2026, proses pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) akan diselaraskan menerusi satu sistem permohonan tunggal yang lebih telus dan tersusun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap pemohon hanya akan menerima satu tawaran penempatan yang bertujuan mengelakkan pertindihan tawaran dan memastikan peluang pendidikan sampai kepada pelajar yang benar-benar layak.

“Kita mahu peluang ini sampai kepada anak-anak dari keluarga B40 khususnya di luar bandar dan miskin bandar.

“Inilah wajah sebenar keadilan sosial dalam pendidikan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Zahid turut memaklumkan bahawa beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara MARA dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menjamin kelancaran pelaksanaan sistem bersepadu menjelang 2026.

Menurut beliau, pemilihan pelajar kekal menggunakan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), manakala permohonan diselaraskan secara dalam talian termasuk menerusi sistem MyMRSM bagi pelajar dari sekolah swasta.

“Usaha ini adalah hasil kerjasama erat antara MARA dan KPM.

“Saya percaya dengan iltizam yang kukuh dan pelaksanaan yang telus, kita sedang menyusun semula ekosistem pendidikan berasrama penuh negara agar lebih mampan dan inklusif untuk generasi akan datang,” katanya.

Anda Mungkin Berminat