Penganalisis cadang tarikh PRU ditetapkan, kurangkan budaya ‘politik sepanjang masa’

KUALA LUMPUR: Budaya politik negara yang terlalu berpanjangan sejak tahun 2008 perlu diperbetulkan bagi memastikan fokus pembangunan negara tidak terus terganggu, kata penganalis politik, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Menurut beliau, landskap politik Malaysia ketika ini dilihat terlalu dipenuhi persaingan politik sepanjang masa sehingga menjejaskan usaha membina negara secara lebih menyeluruh.

Katanya, berbeza dengan kebanyakan negara maju yang hanya aktif berpolitik ketika musim pilihan raya, parti-parti politik di Malaysia seolah-olah berada dalam mod kempen tanpa henti.

“Di negara maju, selepas pilihan raya tamat mereka kembali bersatu untuk membangunkan negara. Apabila tiba musim pilihan raya, barulah mereka kembali berpolitik,” katanya, menerusi Facebook pada Sabtu.

Beliau yang juga Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencadangkan Perlembagaan dipinda bagi menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal dan konsisten, sekali gus menghapuskan elemen pembubaran mengejut.

Menurutnya, sebaik sahaja sesebuah kerajaan dibentuk selepas pilihan raya, tarikh PRU seterusnya perlu terus diumumkan bagi memberi kepastian kepada semua parti politik.

Katanya, kebimbangan terhadap kemungkinan pilihan raya diadakan secara mengejut menjadi antara faktor utama parti politik terus bergerak dalam “gear politik tinggi” sepanjang masa.

“Apabila parti sentiasa bimbang pilihan raya boleh berlaku pada bila-bila masa, mereka akan terus berpolitik tanpa henti,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya proses penamaan calon diadakan lebih awal, contohnya tiga bulan sebelum hari pengundian, bagi memberi ruang kepada rakyat menilai kemampuan dan kredibiliti calon secara lebih mendalam.

Menurut beliau, tempoh yang lebih panjang itu akan menyukarkan calon untuk sekadar menampilkan imej sementara demi meraih undi berbanding tempoh kempen singkat yang diamalkan ketika ini.

Beliau berkata, langkah berkenaan antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan budaya politiking melampau dan mengembalikan semula fokus politik kepada usaha membina negara.

“Supaya kita kembali kepada falsafah unggul politik, iaitu politik bina negara. Bukan politik kurang unggul, iaitu politik meletakkan kepentingan parti dan puak sendiri adalah segala-galanya,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat