Penganggur Didakwa Miliki 3,000 Liter Diesel Tanpa Lesen, Mengaku Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki menganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memiliki sebanyak 3,000 liter diesel tanpa lesen sah.

Tertuduh, M. Saravanan, didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 selepas bahan bersubsidi itu ditemui di dalam sebuah lori miliknya.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Sekolah Kebangsaan Marian Convent di Jalan Air Jernih pada 24 April lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim, Mazuliana Abdul Rashid, membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah menetapkan 2 Jun depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), K. Selvaraju dan Izzat Ariff, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat