PUTRAJAYA: Kadar pengangguran negara kekal stabil pada paras 3.0 peratus bagi Jun 2025 dengan jumlah penganggur menurun kepada 518,700 orang, menurut laporan terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, trend positif itu didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang mampan serta peningkatan dalam penggunaan tenaga buruh.
“Pasaran buruh Malaysia terus mempamerkan momentum pertumbuhan yang memberangsangkan dengan penurunan berterusan pengangguran dan peningkatan guna tenaga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, bilangan individu yang bekerja meningkat kepada 16.92 juta orang, iaitu peningkatan sebanyak 0.3 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Mohd Uzir berkata, kadar penyertaan tenaga buruh pula kekal pada 70.8 peratus, menunjukkan kestabilan dalam penyertaan aktif tenaga kerja negara.
“Sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu utama kepada peningkatan guna tenaga khususnya dalam bidang perdagangan runcit, penginapan, makanan dan minuman serta maklumat dan komunikasi.
“Daripada keseluruhan jumlah penganggur, sebanyak 79.9 peratus terdiri daripada penganggur aktif yang masih giat mencari pekerjaan.
“Jumlah penganggur tidak aktif turut menunjukkan penurunan, menandakan peningkatan dalam motivasi pencarian kerja,” katanya.
Tambah beliau, bagi suku tahun kedua 2025, kadar pengangguran turut mencatat penurunan kepada 3.0 peratus berbanding 3.1 peratus pada suku sebelumnya.
Penurunan itu katanya, mencerminkan kestabilan pasaran buruh dalam jangka sederhana, sejajar dengan perkembangan ekonomi semasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia turut mencatat pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa apabila menduduki tempat pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25.