Pengangguran Malaysia Turun, Pasaran Buruh Catat Prestasi Terbaik – DOSM

PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatat pencapaian memberangsangkan dalam pasaran buruh apabila kadar pengangguran negara menurun kepada 3.0 peratus pada September 2025, melibatkan 518,600 orang penganggur.

Angka itu menandakan tahap terendah dalam sedekad, menurut laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan itu didorong oleh prestasi ekonomi yang kukuh serta peningkatan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor utama.

“Ekonomi yang kukuh telah membantu mengukuhkan pasaran kerja dengan peningkatan bilangan penduduk bekerja serta pengurangan pengangguran.

“Tenaga buruh turut berkembang 0.2 peratus kepada 17.54 juta orang,” katanya dalam satu kenyataan.

Laporan itu turut menunjukkan bilangan penduduk bekerja meningkat kepada 17.03 juta orang, manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal stabil pada 70.9 peratus.

Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian dikenal pasti sebagai pemacu utama pertumbuhan guna tenaga negara.

Dalam kalangan penganggur, mereka yang aktif mencari pekerjaan menurun sebanyak 0.3 peratus kepada 413,600 orang, manakala penganggur tidak aktif berkurang sedikit kepada 104,900 orang.

Lebih menggembirakan, kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun turut mencatat penurunan kepada 10.1 peratus, menandakan prospek pekerjaan yang semakin cerah bagi generasi muda.

Bagi suku ketiga tahun ini, tenaga buruh meningkat 0.7 peratus kepada 17.49 juta orang, manakala bilangan penganggur menurun kepada 519,900 orang.

Putrajaya kekal sebagai wilayah dengan kadar pengangguran terendah di negara ini, iaitu hanya 1.4 peratus.

Prestasi cemerlang pasaran buruh itu turut disusuli dengan pengiktirafan antarabangsa apabila Malaysia menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 197 negara lain, satu pencapaian yang mengukuhkan reputasi negara dalam ketelusan dan pengurusan data ekonomi.

Anda Mungkin Berminat