PETALING JAYA: Semua pengangkutan awam di ibu negara akan beroperasi seperti biasa pada 26 Julai 2025, termasuk perkhidmatan kereta api KTMB dan rangkaian Prasarana.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, arahan itu bagi memastikan kelancaran urusan rakyat, khususnya pada hujung minggu, tidak terganggu oleh sebarang aktiviti perhimpunan.
“Yang lebih penting, pengangkutan awam kita harus terus berfungsi agar majoriti rakyat boleh menjalankan urusan hujung minggu tanpa diganggu oleh perhimpunan pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anthony Loke turut menegaskan komitmen Kerajaan Madani untuk mempertahankan hak berhimpun, termasuk bagi pihak yang tidak sehaluan dengan kerajaan.
“Kita tidak boleh kembali kepada zaman yang menindas demokrasi sehingga Parlimen pun ditutup,” tegasnya.
Dalam pada itu, Anthony Loke turut memaklumkan bahawa Pas MY50 kini boleh diperbaharui secara atas talian melalui aplikasi Touch ‘n Go. Harga sebenar Pas MY50 adalah RM150, namun pengguna hanya perlu bayar RM50 kerana kerajaan menanggung subsidi RM100.
Bagi pengunjung pertama kali ke ibu kota, MyCity Pass harian bernilai RM6 turut ditawarkan untuk penggunaan tanpa had bagi LRT, MRT, Monorel, BRT dan RapidBas. Pas ini dijangka boleh digunakan secara digital menjelang hujung tahun.
Anthony Loke juga menggalakkan peserta himpunan untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar.
Himpunan ‘Turun Anwar’ dijangka dihadiri seramai 15,000 orang di sekitar ibu negara pada 26 Julai ini dan tiada sebarang penutupan jalan dirancang setakat ini.
Baca juga: