KUALA TERENGGANU: Kontroversi berhubung penglibatan kerajaan negeri dalam penganjuran RXZ Members 7.0 terus mencuri perhatian apabila Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, tampil menafikan dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan menghalang penyertaan kerajaan negeri Terengganu.
Menurut Shamsul, program yang berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak itu adalah acara persendirian yang dianjurkan oleh komuniti pemotoran tanpa penglibatan langsung mana-mana kerajaan negeri atau ahli politik.
“Mereka (penganjur) hanya memohon pertimbangan Perdana Menteri untuk mendapatkan sokongan dan beliau melihat program seperti ini sebagai ruang meraikan kepelbagaian dari seluruh negara serta peluang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, yang sebelum ini menyifatkan ketidakhadiran kerajaan negeri dalam acara tersebut sebagai satu bentuk ‘politik murahan’.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah RXZ Members 7.0, Mohd Lukhman Hassan, mengakui terdapat kelemahan dalam aspek jemputan rasmi kepada kerajaan negeri dan menjelaskan bahawa perkara itu akan diperbaiki pada penganjuran akan datang.
“Kami mengakui ada terlepas pandang soal jemputan rasmi kerana pada awalnya jemputan dibuat hanya kepada pihak penaja.
“Namun, penganjur tetap mengambil tanggungjawab penuh untuk isu ini,” katanya.
Sokongan Perdana Menteri terhadap acara tersebut turut dizahirkan melalui peruntukan tambahan sebanyak RM200,000, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan kepada RXZ Members 7.0 mencecah RM300,000.
Bantuan itu disalurkan dengan kerjasama syarikat korporat sebagai dorongan kepada penganjur untuk terus memperkukuh industri permotoran tanah air.
“RXZ Members 7.0 majoritinya disertai golongan belia, sekali gus menjadi platform penting menghimpunkan peminat sukan permotoran dari seluruh negara serta mengangkat industri ini ke tahap lebih tinggi,” ujar Shamsul.
Dengan penyertaan lebih 150,000 peserta, RXZ Members 7.0 bukan sahaja mencatat rekod sebagai edisi terbesar sejak penganjurannya bermula, malah menjadi simbol perpaduan dan semangat anak muda dalam dunia permotoran.








