KOTA KINABALU: Seorang pengawal keselamatan memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa dia menemui Allahyarham Zara Qairina Mahathir dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama, kira-kira jam 3 pagi, 16 Julai lalu.
Saksi keenam, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, berkata ketika ditemui, tengkuk pelajar berusia 14 tahun itu berdarah.
Katanya, sebelum kejadian, dia yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar sejak 2012 melakukan rondaan di blok asrama perempuan Rabiatul Adawiyah sekitar jam 2 pagi dan mendapati tiada insiden mencurigakan.
“Saya kemudian bergerak ke blok asrama Sumayyah untuk rondaan seterusnya sebelum dimaklumkan seorang pelajar bahawa ada pelajar pengsan di longkang berdekatan blok Rabiatul Adawiyah,” katanya ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Koroner, Amir Shah Amir Hassan, pada prosiding hari kelima inkues kematian Zara.
Linah berkata, dia bergegas ke lokasi dan mendapati Zara terlentang di dalam longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Dia kemudian segera menghubungi Ketua Warden Asrama, Azhari Abd Sagap, dan merakam gambar mangsa sebelum ambulans dipanggil. Zara dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan kira-kira jam 4 pagi.
Saksi itu turut memaklumkan bahawa tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di blok asrama berkenaan selain tiada palang besi di koridor bangunan terbabit.
Inkues bagi menyiasat punca kematian remaja berkenaan masih diteruskan.
Baca juga: