Pengecasan EV Di Pejabat Tanpa Izin Tidak Dibolehkan – Pejabat Mufti WP

KUALA LUMPUR: Dalam era peralihan kepada kenderaan elektrik (EV), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, penggunaan elektrik di pejabat untuk mengecas EV tanpa keizinan majikan adalah tidak dibolehkan kerana ia dianggap sebagai mengambil harta tanpa izin pemilik.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, tindakan tersebut menunjukkan pekerja mengambil kesempatan atas kemudahan tempat kerja demi kepentingan peribadi, sekali gus menimbulkan isu etika dan integriti.

“Penggunaan elektrik di pejabat bagi tujuan pengecasan kenderaan elektrik tanpa keizinan adalah tidak dibolehkan kerana ia dianggap sebagai menggunakan atau mengambil harta tanpa keizinan pemiliknya.

“Hal ini menunjukkan pekerja tersebut mengambil kesempatan atas kemudahan tempat kerja demi kepentingan peribadi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Namun begitu, Pejabat Mufti turut menjelaskan bahawa pengecasan EV di tempat kerja boleh diharuskan sekiranya mendapat keizinan majikan dan tidak melanggar polisi syarikat.

Malah katanya, ia boleh dianggap sebagai sebahagian daripada penjagaan kebajikan pekerja, selari dengan amalan sesetengah majikan yang memberikan elaun petrol kepada pekerja yang menggunakan kenderaan peribadi.

“Namun, jika ada kebenaran dan keizinan daripada majikan tempat kerja tersebut serta tidak melanggar polisinya, maka ia diharuskan.

“Pihak majikan juga boleh melihat perkara ini sebagai salah satu daripada penjagaan kebajikan terhadap pekerjanya kerana sesetengah majikan juga turut memberikan elaun petrol kepada pekerjanya yang menggunakan kenderaan peribadi kerana kereta syarikat tidak disediakan,” katanya.

Sebagai langkah proaktif, Pejabat Mufti turut mencadangkan agar majikan menyediakan kemudahan pengecasan EV di premis kerja, disertai dengan tabung sumbangan yang boleh digunakan untuk menampung kos operasi dan menyemarakkan semangat bantu-membantu dalam kalangan warga kerja.

“Selain itu, pihak majikan juga boleh menyediakan kemudahan untuk mengecas kenderaan di premis tempat kerja, dan dalam masa yang sama menyediakan tabung sumbangan untuk menyemarakkan lagi sikap suka bersedekah dan bantu-membantu antara satu sama lain,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat