Oleh Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa mencerminkan kedudukan ekonomi Malaysia yang berada dalam keadaan kukuh dan stabil.
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata tiada keperluan untuk campur tangan dasar monetari ketika ini kerana momentum pertumbuhan ekonomi kekal positif.
“Pengekalan OPR menunjukkan bahawa ekonomi negara berada pada landasan yang baik. Ini kerana BNM tidak perlu melaraskan kadar faedah bagi mengimbangi pertumbuhan atau tekanan inflasi,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Beliau berkata, prestasi ekonomi suku ketiga tahun ini turut mengukuhkan keyakinan terhadap kekuatan ekonomi domestik apabila mencatat pertumbuhan 5.2 peratus, berbanding 4.4 peratus pada separuh pertama 2025.
Tambahnya, kadar pengangguran yang kekal rendah iaitu 3 peratus pada Ogos lalu menunjukkan pasaran buruh Malaysia masih berada pada tahap guna tenaga penuh, sekali gus menyokong kestabilan ekonomi secara menyeluruh.
Dr Mohd Afzanizam menjelaskan, tumpuan utama kini perlu diberikan kepada usaha memperkukuh keyakinan pelabur serta memperluas sektor bernilai tinggi yang mampu memacu pertumbuhan jangka panjang negara.
OPR merupakan instrumen utama BNM dalam menentukan hala tuju dasar monetari negara. Pengekalan kadar ini menandakan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kestabilan harga dijangka berterusan sehingga akhir tahun 2025.
Baca juga:








