Pengerusi PH, Presiden UMNO Akan Tentukan Agihan Kerusi PRN Melaka – Asyraf Wajdi

PETALING JAYA: Keputusan muktamad berhubung pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO setakat ini kekal dengan prinsip asas disepakati BN-PH supaya mempertahankan kerusi masing-masing yang dimenangi pada PRN lalu.

“Prinsip asas disepakati pimpinan BN dan PH, kerusi-kerusi dimenangi kekal dengan parti tersebut.

“Di Melaka BN kekal 21 kerusi, PH kekal lima kerusi manakala dua kerusi PN (Perikatan Nasional) akan dirunding.

“Ketika ini lebih baik fokuskan segala usaha dan upaya untuk menangani pelbagai isu-isu untuk membantu rakyat dan memakmurkan negeri serta negara. InsyaAllah bila tiba masanya, kepimpinan akan mulakan perundingan dan perbincangan mengenainya,” katanya menerusi Facebook pada Sabtu.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, mengulas desakan DAP Melaka yang mahu pembahagian kerusi DUN dibuat menerusi kaedah 14 BN dan 14 PH pada PRN yang dijangka diadakan pada akhir tahun depan.

Terdahulu, pelbagai pihak dilaporkan menolak cadangan DAP menerusi laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang bertajuk ‘9 Cawangan DAP Melaka meluluskan resolusi strategi 14 BN + 14 PH pada PRN Melaka akan datang.’

Difahamkan, sembilan cawangan itu ialah Bukit Beruang, Ayer Keroh, Kampung Baru Ayer Keroh, Merdeka Jaya, Sunshine, Taman Muzaffar Shah, Bukit Beruang Indah, Kubu dan Taman Kerjasama yang kesemuanya dalam Parlimen Hang Tuah Jaya.

Dalam satu kenyataan bersama, semua cawangan itu menyokong supaya PH dan BN masing-masing bertanding 14 daripada 28 kerusi DUN di Melaka, selari semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat