Penggiliran Tanaman Bantu Stabil Harga, Tambah Pendapatan Petani – Mohamad Sabu

PARLIMEN | Konsep penggiliran tanaman bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti tanah dan hasil pertanian, malah berpotensi menambah pendapatan petani secara mampan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Salak, Jamaludin Yahya di Dewan Rakyat, beliau menyokong cadangan agar modul penggiliran tanaman dijadikan dasar tetap nasional.

Beliau turut menyatakan komitmen kementerian untuk menyediakan skim insentif khas termasuk bantuan benih dan baja bagi menarik lebih ramai petani menyertai pendekatan tersebut.

Menurut Mohamad Sabu, antara cabaran utama yang dihadapi petani ialah pengeluaran hasil secara serentak yang menyebabkan lambakan di pasaran dan kejatuhan harga.

“Beberapa bulan sebelum Ramadan, ramai petani menanam tembikai. Apabila tiba Ramadan, pengeluaran berlaku serentak, menyebabkan harga tembikai jatuh teruk, terutama di Kelantan, sehingga 80 sen sekilogram.

“Penanaman tertumpu sebelum Ramadan dilakukan kerana permintaan dijangka tinggi pada bulan berkenaan tetapi strategi ini sebenarnya menjejaskan pendapatan petani,” katanya.

Justeru, beliau menekankan keperluan untuk menyusun semula jadual penanaman agar tidak tertumpu kepada satu musim sahaja.

“Di sinilah kita akan cuba menasihatkan supaya penanaman dilakukan sepanjang tahun melalui penggiliran tanaman, bukan tertumpu pada satu musim sahaja,” ujar beliau.

Mohamad Sabu turut menjelaskan bahawa faktor cuaca memainkan peranan penting dalam menentukan masa penanaman dan penuaian.

Dengan perancangan yang teliti katanya, pengeluaran hasil boleh diagihkan sepanjang tahun, sekali gus mengelakkan kejatuhan harga secara mendadak.

“Kalau tidak dirancang, tanaman akan matang serentak dan menyebabkan harga jatuh.

“Selalunya ini berlaku dalam bulan Ramadan kerana penanaman dibuat tiga bulan sebelumnya.

“Di sini FAMA akan memberi nasihat teknikal kepada petani yang datang berbincang mengenai strategi penggiliran tanaman serta nasihat sekiranya ada pihak yang datang berbincang dengan mereka, supaya pengeluaran dapat diagihkan sepanjang tahun,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap agar pendekatan penggiliran tanaman dapat menjadi pemangkin kepada kestabilan harga, peningkatan hasil dan kesejahteraan ekonomi petani di seluruh negara.

Anda Mungkin Berminat