KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, memaklumkan mengenai insiden seorang penumpang terjatuh ke landasan LRT di Stesen Abdullah Hukum pada Jumaat, yang turut mengaktifkan sistem keselamatan Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) ketika tren sedang menghampiri stesen.
Beliau menzahirkan rasa syukur kerana nyawa mangsa berjaya diselamatkan, selain sistem keselamatan berfungsi sebagaimana sepatutnya dalam situasi kecemasan.
“Saya bersyukur kerana nyawa mangsa berjaya diselamatkan dan sistem keselamatan yang tersedia turut berfungsi sebagaimana sepatutnya dalam situasi kecemasan.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada anggota-anggota penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta Prasarana Malaysia atas tindakan pantas dan profesional dalam mengendalikan situasi ini,” katanya.
Anthony Loke turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan keselamatan di stesen pengangkutan awam.
“Insiden ini menjadi peringatan kepada kita semua untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan keselamatan di stesen pengangkutan awam.
“Terima kasih juga kepada penumpang lain yang turut sabar ketika kejadian ini berlaku, khususnya kepada yang memberikan kerjasama kepada anggota-anggota penyelamat untuk menjalankan tugas mereka dengan lebih lancar.
“Keselamatan adalah tanggungjawab bersama,” ujar beliau.
Terdahulu, insiden di Stesen LRT Abdullah Hukum melibatkan seorang wanita berusia 39 tahun yang terjatuh ke landasan sekitar pukul 6.09 petang.
Nyawanya berjaya diselamatkan selepas sistem keselamatan Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) diaktifkan, menghentikan tren yang sedang menghampiri stesen.
Mangsa mengalami kecederaan di tangan dan muka, sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.








