PETALING JAYA: Penggunaan tenaga gas asli (NGV) akan ditamatkan sepenuhnya bermula 1 Julai 2025 atas dasar keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kenderaan motor yang dikuasakan dengan bahan api NGV tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan untuk kegunaan di atas jalan raya.
Beliau berkata, selain itu, PETRONAS yang menjadi penyedia tunggal NGV juga akan menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat.
“Bagi memastikan peralihan yang lancar, kerajaan turut memberikan program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV kepada pengguna yang layak.
“Semua keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Oktober 2024 berkaitan dengan hala tuju penggunaan bahan api gas asli mampat atau NGV bagi kenderaan motor di Malaysia,” katanya memetik Berita Harian hari ini.
Loke berkata, keputusan terbabit diambil berdasarkan kepada asas pertimbangan keselamatan kepada pengguna terutamanya pemilik kenderaan yang dikuasakan dengan NGV.
“Tangki NGV ini mempunyai had tempoh penggunaan selamat dalam lingkungan 15 tahun dan sekiranya tidak diganti ia tidak selamat digunakan dan boleh gagal berfungsi pada bila-bila masa sahaja yang boleh mendatangkan bahaya kecederaan, kematian dan kerosakan harta benda yang dahsyat.
“Selain itu, terdapat segelintir pengguna yang melaksanakan ubah suai kenderaan dengan menggunakan silinder gas memasak (LPG) yang berbahaya dan mendatangkan risiko kemalangan dan letupan.
“Penggantian menggunakan komponen-komponen tulen pula akan memakan kos yang tinggi sehingga boleh melebihi RM7,000 bagi satu kenderaan,” katanya.