Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyatakan pentingnya pengaplikasian teknologi dalam kemajuan pertanian dalam negara.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, teknologi pertanian kini sedang giat dihasilkan pada peringkat universiti dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
“Sekiranya ada penemuan baharu, ia akan segera dikongsikan dengan petani untuk menggerakkan mereka kepada kemajuan yang lebih pantas dan sekali gus dapat menjamin keterjaminan makanan negara,” katanya dalam kenyataan.
Mohamad menekankan bahawa penemuan baharu MARDI mengenai benih bawang tahun lepas merupakan salah satu contoh terdekat dalam mengekalkan keterjaminan makanan dalam negara.
“Sebelum ini, MARDI telah menghasilkan benih bawang dan terus mengedarkannya ke negeri Perak, Perlis dan Kelantan pada tahun lalu.
Ini menunjukkan usaha kita untuk mencapai sasaran mandiri bekalan bawang tempatan ke paras 30 peratus menjelang 2030,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad juga memetik berkaitan isu beras menyatakan pihak kementerian sedang mengadakan libat urus bersama semua pihak yang terlibat termasuk ahli industri dan ahli Parlimen pembangkang mengenai harga beras.
Beliau yakin dengan melibatkan semua pihak, pertanian negara akan maju ke arah yang lebih baik dan dapat menjayakan agenda yang besar seperti ini.
Baca juga: