Penghargaan PM: Golongan Agama Juga Terima Manfaat, Bukti Keprihatinan Kerajaan MADANI

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar hari ini menyatakan penghargaan tinggi kepada Perdana Menteri atas pengumuman istimewa penghargaan kepada rakyat Malaysia, yang turut menyentuh golongan berperanan dalam pembangunan agama.

Dalam kenyataannya, beliau menyifatkan langkah Perdana Menteri itu sebagai bukti jelas ikhtiar berterusan Kerajaan MADANI yang mengutamakan kebajikan rakyat dan mendengar keluh kesah rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Saya melihat penghargaan ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kebajikan ekonomi, bahkan menjadi manifestasi keprihatinan Kerajaan dalam memelihara maruah dan kesejahteraan seluruh masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia,” katanya.

Antara kumpulan yang disebut secara khusus menerima manfaat langsung daripada inisiatif kerajaan ini ialah:
• Golongan asnaf yang memerlukan perlindungan dan sokongan berterusan;
• Guru KAFA, guru Agama, guru Takmir, guru Pondok, Huffaz dan Asatizah yang menjadi teras penyebaran ilmu Islam;
• Imam, Bilal, Tok Siak, Noja, Marbut, Pendakwah serta pentadbir institusi agama;
• NGO Islam yang aktif dalam pendidikan, advokasi dan kebajikan ummah;
• Peguam Syarie yang memperjuangkan keadilan di mahkamah syariah;
• Pegawai Hal Ehwal Islam dan seluruh warga institusi keagamaan yang sentiasa bekerja keras demi kesejahteraan masyarakat.

Pengumuman lima langkah segera oleh Perdana Menteri pada hari ini, termasuk bantuan tunai RM100 kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas bermula 31 Ogos, cuti umum pada 15 September, peluasan Jualan Rahmah, penangguhan kenaikan tol, dan penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Na’im turut menyeru agar kerjasama antara institusi agama dan kepimpinan negara terus diperkukuh demi memastikan prinsip keadilan sosial dan nikmat pembangunan dapat dirasai semua.

“Insya-Allah, kita akan terus memperkukuh kerjasama antara agensi agama, institusi masyarakat dan kepimpinan negara dalam memastikan setiap lapisan rakyat dapat merasai nikmat pembangunan dan keadilan sosial yang digagaskan di bawah Malaysia MADANI.”

Beliau meletakan harapan agar usaha ini menjadi sebab turunnya keberkatan dan kemakmuran yang berpanjangan buat Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat