Pengiktirafan 100 Koperasi Terbaik pemangkin transformasi Gerakan Koperasi Negara

Oleh: Shafira Aziz

MELAKA: Pengiktirafan 100 Koperasi Terbaik Malaysia Tahun 2024 dilihat sebagai dorongan penting dalam memperkukuh gerakan koperasi di seluruh negara, di samping mendukung matlamat kerajaan menjadikan koperasi sebagai agen perubahan sosial dan pemacu ekonomi rakyat.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Datuk Ewon Benedick mengingatkan bahawa koperasi bukan sekadar entiti perniagaan, tetapi berperanan sebagai model unik yang mampu membina keupayaan ekonomi komuniti dan menggerakkan ekonomi secara inklusif.

“Koperasi penting untuk terus menjana hasil yang mampan sambil mengekalkan falsafah dan prinsip koperasi yang meletakkan kepentingan bersama melebihi keuntungan individu,” katanya.

Penerima anugerah bagi Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia Tahun 2024 ialah Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad, Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad, Koperasi Kakitangan Petronas Berhad, Koperasi Tenaga Nasional Berhad dan Koperasi Ladang Berhad.

Kejayaan mereka diiktiraf sebagai contoh terbaik bagaimana koperasi dapat berkembang dan memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara.

Pengiktirafan itu dijangka bukan sahaja meningkatkan semangat koperasi yang terlibat, tetapi juga memberikan motivasi kepada koperasi lain di seluruh negara untuk terus memperkukuh kedudukan mereka dalam landskap ekonomi negara.

Dilancarkan dalam Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi di Melaka, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ewon bersama-sama menyeru koperasi agar terus meningkatkan peranan mereka dalam membasmi kemiskinan dan menyokong pembangunan ekonomi negara.

Melaka, sebagai tuan rumah majlis tersebut turut menonjol sebagai negeri yang berpotensi besar dalam gerakan koperasi.

Dengan 487 koperasi dan 178,000 ahli, negeri tersebut telah mencatatkan perolehan sebanyak RM156 juta.

Ewon turut menyatakan keyakinannya bahawa koperasi di Melaka mampu menjadi agen penting dalam mencapai visi “Melaka Menuju Negeri Lestari” menjelang 2035, khususnya melalui peranan koperasi dalam usaha membasmi kemiskinan.

Anda Mungkin Berminat