PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengukir nama di persada antarabangsa apabila disenaraikan sebagai tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 dunia dalam edisi terkini The World’s 500 Most Influential Muslims terbitan The Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC) bagi tahun 2026.
Pengiktirafan berprestij itu bukan sahaja mencerminkan kedudukan Anwar sebagai pemimpin berwibawa tetapi turut mengangkat imej Malaysia sebagai negara Islam yang progresif, berprinsip dan berperanan aktif dalam memperjuangkan nilai kemanusiaan sejagat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Na’im Mokhtar, menyifatkan pencapaian itu sebagai satu penghormatan besar buat negara.
“Pengiktirafan ini merupakan satu pencapaian besar dan penghormatan buat Malaysia oleh masyarakat antarabangsa terhadap pencapaian, pendirian dan sumbangan Perdana Menteri dalam mengemudi kepemimpinan negara serta menangani isu-isu kepentingan masyarakat antarabangsa berasaskan prinsip sentraliti, sederhana, seimbang dan berhikmah,” katanya dalam satu kenyataan.
Na’im turut menekankan bahawa penerimaan terhadap Anwar oleh masyarakat Islam global membuktikan bahawa beliau merupakan antara figura utama yang mempelopori pembangunan negara dan tamadun berteraskan nilai keadilan, kemanusiaan dan kesejahteraan sejagat selari dengan kerangka Malaysia Madani.
“Peningkatan kedudukan Perdana Menteri dari tangga ke-15 (edisi 2025) kepada tangga ke-10 tahun ini juga menunjukkan falsafah Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri telah diterima di hati rakyat Malaysia serta diiktiraf di pentas antarabangsa,” ujarnya.
Pengiktirafan ini hadir ketika Anwar giat memperkukuh diplomasi serantau dan antarabangsa termasuk dalam isu-isu sensitif seperti keadilan buat rakyat Palestin dan keamanan di Asia Tenggara.
Na’im menyifatkan keberanian Anwar dalam menyuarakan pendirian Malaysia sebagai bukti kepimpinan yang konstruktif dan berprinsip.
“Perdana Menteri begitu lantang dalam memperjuangkan isu keadilan buat rakyat Palestin serta menjadi wakil Malaysia sebagai keamanan di rantau Asia Tenggara seperti antara Thailand dan Kemboja, jelas memperkukuh imej Malaysia sebagai negara Islam contoh yang konstruktif dan berprinsip dalam mempertahankan nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut menyatakan komitmen penuh untuk terus menyokong dasar dan visi kepimpinan Anwar dalam mengangkat martabat Islam sebagai agama yang membawa kesejahteraan dan perpaduan.
“Pihak Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus menyokong penuh dasar dan visi kepimpinan YAB Perdana Menteri dalam mengangkat martabat Islam sebagai agama yang membawa kesejahteraan, memupuk perpaduan, serta memperkukuh kedudukan Malaysia di persada dunia.
“Sesungguhnya, kejayaan ini menjadi cerminan kepada kekuatan moral dan akhlak kepimpinan Perdana Menteri, yang mendukung nilai Islam sebagai asas tadbir urus negara berteraskan ihsan, amanah dan kasih sayang kepada seluruh umat manusia,” katanya.








