Pengisytiharan Harta Menyeluruh Dalam Badan Eksekutif, Legislatif Dan Kehakiman – Aiman Athirah

PETALING JAYA: Dalam usaha memperkukuh kepercayaan rakyat dan memastikan agenda reformasi bukan sekadar retorik politik, gesaan tegas agar semua individu dalam badan eksekutif, legislatif dan kehakiman membuat pengisytiharan harta tanpa pengecualian.

Ketua Wanita Amanah Negara (AWAN), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, langkah itu bukan sahaja mencerminkan prinsip semak dan imbang yang menjadi asas sistem demokrasi berparlimen, malah dianggap sebagai benteng terakhir mengekang percaturan kuasa yang kian membayangi institusi awam negara.

“Reformasi institusi tidak akan berjaya jika individu di dalamnya tidak telus.

“Pengisytiharan harta ialah asas kepada akauntabiliti,” katanya.

Kenyataan itu hadir di tengah-tengah kebimbangan awam terhadap ketelusan individu dalam jabatan eksekutif tertinggi serta sistem perundangan dan kehakiman yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik.

Menurut Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Malaysia telah lama mengamalkan pengasingan kuasa secara teori.

“Namun pelaksanaannya kerap terjejas akibat percaturan politik bersilang, menjadikan tuntutan terhadap pengisytiharan harta sebagai langkah wajib dan bukan pilihan,” katanya.

Katanya, pelaksanaan dasar ini juga membawa makna simbolik bahawa perubahan yang dijanjikan bukan hanya bertumpu kepada sistem tetapi melibatkan transformasi budaya pentadbiran yang lebih beretika dan telus.

Tambah beliau, walaupun terdapat kekhuatiran mengenai privasi dan keselamatan, cadangan untuk semakan dalaman berstruktur sebagai ganti pendedahan awam turut dikemukakan.dengan syarat pelaksanaannya telus, bebas dan boleh dipertanggungjawabkan.

Anda Mungkin Berminat